Make your own free website on Tripod.com
Tajuk: Graphic Langauge
(Bahasa Grafik)
Pengenalan Am Lukisan 

Lukisan adalah satu mata pelajaran yang tidak asing lagi bagi pelaiar-pelajar sekolah, maktab dan pusat pengajian tinggi.  Sejak peringkat awal persekolahan lagi mereka telah didedahkan kepada bakat sedia ada yang perlu dibimbing untuk diketengahkan.  Malahan dalam alam prasekolah juga kanak-kanak diajar melukis dan mewarna lukisan oleh pembimbing dan ibu bapa.  Kebolehan melukis yang merupakan koordinasi mental dengan pergerakan tangan memang sedia ada pada setiap orang.  Manakala perasaan atau gambaran dalaman khayalan dapat diluahkan melalui cara lukisan.  Setakat mana mutu sesebuah lukisan yang dipersembahkan bergantung pula pada kebolehan seseorang itu melukis.

Suatu pengalaman yang dirakamkan dalam ingatan seseorang itu apabila dikeluarkan semula secara lukisan biasa, lazimnya lukisan yang dihasilkan itu tidak serupa dengan hasil lukisan individu yang lain.  Contohnya, seramai lima orang melihat pada satu jenis pokok di luar bilik darjah.  Kemudiannya mereka disuruh melukis semula pokok yang dilihat tadi dalam situasi di bilik darjah tanpa merujuk pada pokok sebenar.  Kelima-lima mereka ini boleh melukis semula jenis pokok yang dilihat tadi, tetapi bentuknya berlainan kerana mengikut kehalusan seni melukis setiap individu.  Tidak dapat dinafikan bahawa kebolehan melukis memang tersedia ada pada setiap individu, cuma kehalusan seni melukisnya perlu dihalusi dengan latihan-latihan mengikut teknik-teknik melukis yang betul bagi menghasilkan karya seni yang bermutu.

Untuk mencipta dan mereka sebuah mesin, kilang, empangan, jambatan, jalan keretapi dan lain-lain bagi kegunaan manusia, seorang pelukis pelan mestilah memahami sepenuhnya akan segala benda yang akan di bina sebelum anggaran perbelanjaan dapat di buat dan di keluarkan. Pelukis mestilah boleh menganggarkan jumlah sebenar bahan yang akan di gunakan, jenis bahan dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan pembinaan tersebut. Dengan lain perkataan seseorang pelukis mestilah melengkapkan setiap keterangan yang diperlukan oleh kontraktor projek tersebut.

Komunikasi dalam lukisan kejuruteraan adalah menggunakan Bahasa Grafik, yang mana ia di gunakan secara meluas (Universal) oleh pereka kejuruteraan untuk menerangkan secara lengkap bentuk dan ukuran pada mekanisma dan struktur sesuatu rekaan dengan menggunakan simbol, kata ringkas dan juga garisan . 

Juruteknik, pereka bentuk, jurutera , arkitek dan lain-lain berkomunikasi melalui bahasa grafik yang jelas untuk semua rekaan yang di hasilkan. Keutamaannya ialah  bahasa ini berupaya memberikan arahan dan keterangan teknik yang perlu di kuasai oleh setiap orang yang berkecimpung dalam lapangan teknikal.

Pekerja, pengeluar atau mekanik dapat menghasilkan kerjanya dengan baik dan cekap sekiranya dapat mentafsirkan dan mengusai bahasa graphik.
 
 

2. Jenis Lukisan

a). Lukisan Gubahan Fikiran 
     ( Non - Projective )

Secara amnya lukisan boleh dibahagikan kepada dua bahagian.  Pertama, lukisan artis dan kedua, lukisan teknik.  Lukisan yang dihasilkan oleh artis lazimnya merupakan lukisan yang dilakar secara bebas untuk menggambarkan bentuk sebenar sesuatu objek, benda ataupun pandangan alam semula jadi.  Untuk menguatkan lagi gambaran sebenar sesuatu lukisan lakaran pensel itu, biasanya artis akan menambah bayangan atau ton pada lukisannya.  Bagi kesan-kesan yang lebih realistik lagi, lukisan lakaran akan diwarnakan mengikut warna sebenar sama ada menggunakan pensel warna, pewarna air atau pewarna cat minyak.  Artis menyampaikan gambaran, bayangan atau emosinya melalui karya lukisan dengan cara yang tertentu.  Lazimnya lukisan-lukisan mereka mempunyai makna yang tersendiri, hanya si pelukis sahaja yang dapat menghuraikan maksudnya yang sebenar. Ia bukanlah lukisan teknik, dan tidak menggunakan bahasa grafik.
 

b) Lukisan Teknik. ( Projective )

             Berlainan pula dengan lukisan teknik yang mana lukisannya merupakan lukisan garisan-garisan yang dibentuk daripada pensel atau dakwat.  Lukisan berbentuk garisan ini dibuat dengan menggunakan peralatan lukisan teknik, bukannya secara bebas tanpa menggunakan peralatan.  Lukisan ini merupakan gambaran sebenar bagi sesuatu bentuk objek dengan lebih terperinci yang disertakan dengan saiz dan ukuran dari semua arah pandangan.  Lukisan teknik boleh juga digunakan untuk menyimpan atau merakam rupa bentuk secara terperinci bagi alat-alat kegunaan, mesin, perabot, rumah dan lain-lain lagi.  Tidak kurang juga ia digunakan untuk meluahkan ciptaan atau rekaan oleh pencipta-pencipta seperti jurutera, arkitek dan lain-lain yang ada kaitannya dengan kejuruteraan.  Oleh kerana pencipta dan pereka sahaja yang mengetahui dan memahami keadaan sesuatu ciptaannya maka ia perlu menyampaikannya secara terperinci melalui lukisan teknik.  Pada awalnya, lukisan ciptaan itu dilukis secara lukisan lakaran dan kemudian dilukis dengan menggunakan alatan lukisan teknik mengikut gaya persembahan tertentu yang tertakluk kepada peraturan lukisan untuk menghuraikan dengan jelas maksud lukisan tersebut.

Dengan adanya pandangan yang lengkap dari berbagai-bagai sudut ini ia lebih memudahkan lagi bagi seseorang tukang logam membuatnya.  Lukisan teknik ataupun lukisan kejuruteraan yang terperinci juga adalah untuk kegunaan jurutera, jurubina dan tukang membuat sesuatu. Bayangkan betapa sukarnya jika hendak membuat barang-barang pengeluaran yang lebih kompleks tanpa merujuk kepada lukisan teknik.  Tanpa lukisan teknik maka barang-barang seperti radio, motosikal, kereta, televisyen dan alat-alat lain tentunya tidak dapat dihasilkan dalam bentuk yang seragam.

Lukisan Kejuruteraan termasuk dalam golongan lukisan teknik yang menggunakan bahasa grafik. Ia digunakan oleh para jurutera, pereka bentuk, pelukis pelan dan pekerja-pekerja di bengkel dan sektor industri.

Ciri-ciri lukisan teknik ialah:-
 

i)   Di lukiskan mengikut peraturan-peraturan dan piawaian yang di tetapkan
     (ISO)
ii)  Menggunakan alat-alat lukisan yang tertentu
iii) Menggunakan simbol-simbol dan kata ringkas (Abbreviation)
iv) Mempunyai makna yang tertentu pada setiap garisan yang dilukis.


Lukisan Mekanikal terbahagi kepada dua bahagian besar iaitu:-

i) Lukisan Projektif
Lukisan projektif ialah lukisan mekanikal yang menggunakan alat-alat khas seperti sesiku Tee, kompas, sekil dan lain-lain.
Lukisan ini merupakan gambaran sebenar bagi sesuatu bentuk objek dengan lebih terperinci yang di sertakan dengan saiz dan ukuran dari semua arah pandangan. Ia lebih memudahkan seseorang tukang logam, jurutera, jurubina dan tukang membuat sesuatu alat bagi kegunaan tertentu atau pun proses pengeluaran di kilang-kilang. Tanpa lukisan ini, barang-barang seperti radio, motosikal, kereta, televisyen dan alat-alat lain tidak dapat dihasilkan dalam bentuk yang seragam.

ii) Lukisan Non-Projektif
Lukisan non-projektif pula adalah lukisan yang tidak menggunakan alat-alat lukisan dan ianya di kenali sebagai lakaran tangan bebas ( freehand sketching)

Bahasa Kejuruteraan

Pada zaman dahulu sebelum wujudnya bahasa pertuturan yang digunakan sebagai bahasa perhubungan di antara seseorang, manusia menggunakan gambar-gambar yang dilukis pada batu, di atas tanah atau pada pokok kayu.  Dengan gambar-gambar yang dilukis itu dapatlah mereka berhubung ataupun memahami sesuatu keadaan.  Selain daripada itu mereka juga menggunakan simbol-simbol tertentu yang dilukis untuk digunakan sebagai bahasa perhubungan.

Sejak wujudnya bahasa maka perkembangan penggunaannya telah meningkat.  Bahasa Inggeris misalnya, menjadi bahasa perhubungan yang lebih meluas di antara masyarakat sesuatu bangsa dengan bangsa yang lain di dunia ini.  Bagi masyarakat di Malaysia pula, penggunaan bahasa kebangsaan adalah sebagai bahasa rasmi untuk pertuturan di antara masyarakat majmuk.  Selain daripada pertuturan, ia boleh juga disampaikan melalui media penulisan sama ada dengan tulisan jawi, rumi atau lain-lain.

Manusia pada zaman batu menggunakan gambar-gambar dan simbol-simbol tertentu sebagai bahasa perantaraan untuk berhubung.  Masa kini pula mereka menggunakan bahasa pertuturan ataupun media penulisan untuk mereka berhubung secara langsung.

Lukisan Teknik mengandungi ciri-ciri tertentu dengan gaya tersendiri dan dilukis mengikut peraturan yang telah ditetapkan.  Lukisannya terdiri daripada susunan berbagai-bagai jenis garisan serta simbol-simbol tertentu dan lazimnya boleh difaham oleh mereka daripada bidang ketukangan yang sama.  Contohnya pelan rumah hanya boleh difaham dan dibaca oleh tukang serta mereka di bidang binaan bangunan sahaja. la menjadi bahasa perhubungan di kalangan juruteknik, jurutera, jurubina dan mereka dalam bidang ketukangan.

Sesebuah lukisan pelan yang lengkap bagi sebuah rumah, dapat pula menghuraikan segala-galanya kepada tukang pembuat rumah; sama ada dari segi penggunaan bahan, bentuk, struktur dan pembinaannya.  Dengan adanya lukisan pelan tersebut, tukang dapat melengkapkan pembinaan rumah hanya merujuk kepada lukisan yang dilengkapkan dengan butiran yang dikehendaki.
Satu contoh lain, sebuah kereta itu tidak dapat dibuat dengan hanya menceritakan rekabentuk kejuruteraannya melalui penulisan berbentuk karangan yang panjang lebar, tanpa menyediakan lukisan pelan kejuruteraan.  Adalah mustahil bagi pihak pembuat kereta dapat membuat kereta tersebut.  Tentunya para jurutera memerlukan lukisan pelan kejuruteraan yang terperinci untuk pembinaan badan kereta dengan ukuran yang tertentu serta lukisan kejuruteraan jentera bagi menentukan struktur enjinnya.

Daripada dua contoh yang diberikan dapat menjelaskan kepada kita bahawa lukisan teknik memangnya boleh dianggap sebagai bahasa perhubungan dalam bidang kejuruteraan. Lukisan teknik asas adalah satu mata pelajaran yang perlu dipelajari oleh setiap pelajar dalam bidang kejuruteraan, sama ada kejuruteraan elektrik mahupun mekanikal.  Segala pelajaran yang diperolehi daripada lukisan teknik asas inilah kemudiannya akan digunakan bagi membantu melukis lukisan kejuruteraan khusus.

Semasa mempelajari lukisan teknik terdapat beberapa amalan biasa yang perlu dilakukan oleh setiap pelajar untuk menentukan setiap lukisannya diterima mengikut peraturan lukisan.  Di antaranya ialah ketepatan, mengikut teknik melukis yang telah ditetapkan, lukisan yang -bersih.
 

Perkara-perkara penting semasa melukis

i) Ketepatan
Setiap lukisan teknik hendaklah dibuat dengan mengikut ukuran yang tepat, lni termasuk ketepatan ukuran saiz dan penggunaan jenis-jenis garisan mengikut jenis pensel ataupun sepertimana yang telah ditentukan.  Lukisan yang tidak mengikut ciri-ciri yang disebutkan di atas akan menghasilkan lukisan yang tidak bermutu dan kemungkinan tidak dapat diterima.

Lukisan tidak memberi makna apa-apa jika tidak tepat. Anda hendaklah belajar dari peringkat awal lagi supaya mengamalkan ketepatan dalam kerja lukisan.

ii)Kepantasan

"Masa itu Wang". Dalam perindustrian tidak ada tempat bagi orang yang lambat membuat kerja. Bagaimanapun kepantasan tidak datang dengan sendirinya melainkan melalui daya usaha, kepintaran dan kerja yang berterusan.

Masa yang diambil untuk menyiapkan sesuatu lukisan teknik itu sebaik-baiknya dengan secepat mungkin yang boleh.  Apabila pelukis memulakan lukisannya, bermakna dia memulakan latihan dalam ciri-ciri lukisan teknik yang memerlukan kemahiran-kemahiran yang tertentu.  Lukisan yang boleh disiapkan dalam masa tertentu itu berpunca daripada fikiran dan keadaan kesihatan yang baik serta sentiasa bersedia.  Penumpuan sepenuhnya terhadap lukisan akan dapat membantu mengekalkan kemahiran tertentu, umpamanya teknik penggunaan pensel untuk jenisjenis garisan, teknik penggunaan alat-alat lukisan dan lain-lain lagi.

Sehubungan dengan itu, sungguhpun lukisan dapat disiapkan dalam masa yang ditentukan tetapi janganlah pula menepikan ciri-ciri dalam lukisan teknik dan bukannya dibuat dengan ala kadar sahaja.  Seharusnya amalan yang sedemikian dapat melatih pelukis sebagai seorang yang produktif dan berkeupayaan menyiapkan kerja-kerjanya dalam masa yang ditentukan ataupun lebih cepat lagi.  Jika lukisan disiapkan sedikit demi sedikit ia akan menghasilkan kerja yang kurang memuaskan, menampakkan takat pengekalan kemahiran pelukis tidak tetap.  Kelicinan kemahiran pada tahapnya, setelah seseorang itu membuat kerja dalam jangka waktu yang tertentu, mungkin tidak sama pada setiap individu.
Bagi menghasilkan kerja lukisan teknik yang bermutu, setiap pelajar hendaklah mengamalkan perkara-perkara yang telah disebutkan supaya menjadi satu amalan yang lazim.  Dengan demikian perhatian yang sepenuhnya dapat ditumpukan terhadap lukisan teknik.

Ia akan berkesan dari pembelajaran dan amalan. Pekerja yang cekap dan pantas selalunya berwaspada dan bersedia.

iii) Terang dan Jelas ( Teknik Melukis )

          Lukisan adalah alat perhubungan kepada orang lain dan semestinya lukisan tersebut terang dari segi mutu lukisan dan jelas dari segi pengertian simbol atau sebagainya. Lukisan hendaklah di teliti terhadap perkara-perkara yang kecil terutama sekali tulisan.

Lukisan hendaklah dilukis mengikut teknik-teknik yang telah ditetapkan, termasuk teknik membina garisan, cara membentuk objek supaya lukisan kelihatan lebih jelas dan mudah difaham.  Ini memandangkan kepada pelbagai jenis garisan dalam garisan dan simbol-simbol tertentu yang boleh diguna bagi membantu pembikinan lukisan yang lebih baik.  Suatu lukisan yang dilukis dengan tidak mengikut teknik-teknik yang betul akan menampakkan lukisan tersebut tidak bermutu.  Gejala lain mungkin ia susah difaham ataupun mengelirukan kerana garisan-garisan lukisannya nampak kabur.

iv)Kebersihan

            Lukisan memerlukan kebersihan, oleh yang demikian anda hendaklah sentiasa berusaha untuk mengamalkan kebersihan. Lukisan yang kotor dan tidak mementingkan kebersihan tidak akan di terima umum. Setiap pelukis mestilah menanamkan perasaan untuk menghargai lukisan yang dibuatnya.  Dengan itu pelukis akan lebih berhati-hati semasa
membuat lukisan dengan mengambil kira langkah-langkah tertentu termasuk cara pengendalian alatan lukisan untuk memastikan kekemasan dan kebersihan lukisannya.  Amalan begini dapat menjadikan pelukis sebagai seorang yang berkebolehan menghasilkan kerja yang baik.  Pelukis yang tidak menghargai lukisannya akan menghasilkan lukisan yang kotor dan tidak kemas.  Kebersihan dan penjagaan lukisan adalah satu amalan yang baik bagi setiap pelajar
 

4.Tugas-tugas dan tanggung jawab Pelukis Pelan
 

i)  Pelukis mestilah memahami sepenuhnya apa yang dikehendaki oleh jurutera, jurubina dan tukang berkenaan dengan projek yang hendak di jalankan.
ii)  Memahami bentuk dan simbol pada lukisan "Schematic Diagram" untuk lukisan Elektrik, Paip , Pencegah Kebakaran (Fire-Fitting) dan Talipon.
iii) Melukis lukisan pemasangan dan lukisan terperinci untuk keperluan workshop machanist bagi mereka(design) sesuatu objek di sektor perindustrian.
iv)  Melukis menggunakan Komputer Autocadd dan "design program"
v)  Menyurih lukisan arkitek untuk membuat lukisan Elektrik, Paip , Pencegah Kebakaran (Fire-Fitting) dan Talipon di dalam projek perumahan, perindustrian untuk firma-firma perunding.
vi)  Mestilah menghasilkan kerja dengan cepat dan tepat, bersesuaian dengan kehendak pelangan.
vii)  Mesti mempunyai sikap kesedaran tentang kemahiran yang ada pada diri dan sekeliling.
viii) Lukisan mestilah di lukis dengan standard yang terkini bersesuaian dengan peredaran masa. Begitu juga dengan sikap dan pengetahuan pelukis.
ix) Mestilah boleh membuat sebarang kerja yang berkaitan dan boleh bertukar-tukar tugas.
x)  Kesedaran dari segi kos penggunaan bahan, alatan dan masa supaya tidak merugikan majikan.
xi) Memiliki sikap kesedaran tentang bahaya  yang terdapat di sekitar tempat kerja dan tahu mengelakkan dan mengurangkan kerugian.


Mengawasi dan Memperbaiki.
 

i)   Menjaga, mengawasi dan memperbaiki segala alat-alat kelengkapan yang digunakan.
ii)   Menyediakan lukisan yang telah diarahkan oleh jurutera dan pereka.
iii)  Membuat pertukaran dan pembetulan ke atas lukisan (Alteration)
iv)  Menyurih lukisan (Trace)
v)  Melawat tempat binaan.
vi)  Membuat anggaran (Estimate) harga satu-satu projek dengan berpandukan lukisan.
vii) Membuat cetakan (printing), menyimpan lukisan dengan teratur, menyimpan fail dan  lain-lain tugas yang berkaitan.
 
 

Tamat

******************************************
Buku Rujukan:-
1. Technical Drawing Edisi 10 & 11.
 - Pengarang:.F.E. Giesecke, A.Mitchell, H.C Spencer, I.L. Hill, J.T Dygdon dan Novak
2. Lukisan Geometri
- Md Nasir Abd Manan

******************************************
SOALAN KEFAHAMAN
Untuk  menguji kefahaman anda sila jawab soalan berikut
Soalan 1