topik 4 : MENGENAL PASTI PELUANG PERNIAGAAN


MENCARI IDEA DAN PELUANG PERNIAGAAN

Definisi Peluang

Peluang ialah satu keadaan yang boleh memberi faedah atau membawa kejayaan kepada seseorang yang muncul atau diwujudkan untuk diambil segera. Peluang biasanya menghampiri seseorang itu dalam keadaan yang samar-samar dan tidak pasti. Cuma seseorang yang cekap dan bersedia sahaja yang dapat mencekup peluang yang ujud di hadapannya. Peluang yang lambat direbut akan terlepas ke tangan orang lain.

Setiap perniagaan bermula daripada peluang yang dapat dikenalpasti dan diambil kesempatan untuk dimajukan. Kewujudan peluang perniagaan untuk menawarkan barangan dalam pasaran tertentu bergantung kepada perubahan dan arah aliran dalam faktor-faktor persekitaran yang meliputi suasana ekonomi, sosiobudaya, politik, undang-undang, teknologi dan tahap persaingan.

Ini ialah kerana faktor-faktor persekitaran mempengaruhi perubahan dalam permintaan pelanggan terhadap jenis barangan tertentu. Maka, proses memerhati dan meneliti perubahan dan arah aliran dalam faktor-faktor persekitaran sangat penting kepada seseorang usahawan untuk merebut peluang perniagaan dalam pasaran tertentu.

Yang dimaksudkan dengan peluang dalam pasaran ialah apabila masih terdapat ruang atau kesempatan untuk menawarkan barangan yang boleh memenuhi permintaan dan citarasa pelanggan.

Terdapat dua situasi bagaimana peluang perniagaan boleh wujud dalam pasaran.

Situasi pertama ialah barangan yang sudah wujud dalam pasaran tetapi masih belum dapat memenuhi sepenuhnya permintaan dan citarasa daripada pelanggan. Ini mungkin disebabkan barangan kurang bermutu, kurang pilihan, harga yang tidak berpatutan, sukar diperolehi atau ciri yang kurang menarik.

Situasi kedua ialah pelanggan inginkan barangan yang dapat membantu menyelesaikan masalah mereka seperti alat yang boleh mempercepatkan proses menoreh getah, cecair yang boleh mengilatkan kereta tanpa banyak usaha atau perisian komputer untuk mempercepatkan kerja-kerja pejabat.

Mengenalpasti, mengkaji dan memilih peluang perniagaan bukan suatu perkara yang mudah. Ia dianggap sebagai satu langkah bagi seseorang usahawan dalam usaha untuk memulakan perniagaan.

Cara-cara Untuk Mengenalpasti Peluang Perniagaan

Perniagaan bergantung kepada manusia dan aktivitinya. Selagi ada aktiviti-aktiviti ini, selagi itulah ada peluang-peluang perniagaan. Bukannya mudah untuk mengenal pasti peluang perniagaan, semua jenis perniagaan yang hendak kita lakukan, kebanyakkannya telah dijalankan oleh orang lain. Oleh yang demikian, kita takut menceburkan diri dalam dunia perniagaan, kerana kita tidak dapat mengenal pasti peluang perniagaan. Tetapi peluang ini terdapat pada seseorang yang mempunyai sifat-sifat keusahawanan.
 

Semua jenis perniagaan yang ada sekarang berpunca daripada DAYA PEMIKIRAN. Berikut disenaraikan beberapa cara yang usahawan-usahawan gunakan untuk mengenal pasti peluang perniagaan.

i. Daya Fikiran

Gunakan daya fikiran untuk berfikir setiap masa, tumpukan fikiran terhadap perniagaan, cuba ubahkan apa yang dilihat, supaya ia dijadikan barang perniagaan. Berfikir selalu. Gunakan daya pemikiran untuk membayangkan sesuatu yang boleh menimbulkan keuntungan. Dengan lain perkataan, kebolehan imaginasi untuk menimbulkan perkara atau barang baru di pasaran. Jika kebolehan berfikir kurang, berkumpullah beramai-ramai dan adakan brainstorming. Perbincangan begini selalu berhasil mengeluarkan idea baru.

ii. Melalui Masalah Yang Ada

Segala aktiviti-aktiviti manusia mesti menempuhi masalah. Baik urusan di rumah, di pejabat dan lain-lain hal berkenaan dengan kehidupan manusia mesti menempuhi masalah. Walaupun sekarang zaman sains dan teknologi moden, manusia tetap mempunyai masalah, tidak ada perkara yang tidak mempunyai masalah. Jadi dengan masalah-masalah ini, kita boleh menukarkannya menjadi punca masalah. Penyelesaian kepada masalah merupakan peluang perniagaan, gunakan daya pemikiran untuk menyelesaikan masalah-masalah yang ada, dan fikirkan cara perniagaan yang bersesuaian sebagai penyelesaian masalah. Kebanyakan daripada perniagaan yang ada sekarang berpunca daripada masalah-masalah yang dihadapi oleh manusia dulu kala.
 
 

iii. Melalui Keperluan Manusia

Sememangnya kehidupan manusia, tidak kira apa bangsa memerlukan sesuatu untuk memenuhi kehendaknya. Manusia perlu makan dan minum, perlukan keselamatan, perlukan kesenangan dan kemewahan serta keselamatan. Keperluan-keperluan ini biasanya berterusan tanpa berhenti selagi seseorang itu masih hidup. Dengan adanya keperluan-keperluan asas semulajadi manusia, usahawan terpaksa memikirkan barangan-barangan dan perkhidmatan yang baru untuk memuaskan hati manusia. Keperluan kepuasan hidup memang luas, boleh dikatakan dari segi makanan, keselamatan, kewangan, hiburan, pakaian dan lain-lain. Keperluan semulajadi manusia telah menimbulkan beberapa jenis barangan seperti radio, televisyen dan telefon.

iv. Mengkaji Selidik Barang Yang Ada

Barang-barang dan perkhidmatan-perkhidmatan yang ada sekarang merupakan daya cipta, dan ubahan usahawan dahulu supaya bersesuaian dengan keadaan sekarang. Tetapi oleh kerana aktiviti penghidupan manusia terus berubah, barangan yang ada sekarang juga perlu diubah dan dikaji selidik.Pengubahan kepada barangan yang ada dan rekaan barang-barang baru untuk barang-barang yang ada akan menampakkan bahawa barang itu barangan baru dan akan mendapat perhatian pengguna dan akan memberi peluang perniagaan kepada sesiapa yang mengubah atau merekanya.
 

v.Meneliti Permintaan Pasaran

Kehendak dan keperluan pasaran berubah dari semasa ke semasa. Misalnya, pisang emas dan manggis untuk dieksport ke Jepun. Pucuk asparagus untuk dieksport ke Amerika Syarikat. Dalam segi perkhidmatan perniagaan, permintaan pengguna mewujudkan pasar tani dan pasar-pasar malam di beberapa tempat di Malaysia. Bakal usahawan terpaksa meneliti permintaan pasaran yang baru jika mahu mendapat peluang perniagaan.
 

vi. Meneliti Perkembangan Ekonomi Dan Pembangunan Negara

Ekonomi negara juga berubah dari semasa ke semasa. Projek-projek pembangunan juga ada dari semasa ke semasa. Dengan adanya aktiviti ini, usahawan dapat mengenal pasti di mana projek-projek ini akan diadakan dan bagaimana kita boleh mencebur diri dalam pembangunan tersebut. Misalnya apabila ada rancangan Pembangunan Bandar Sungai Buluh, tuan punya tanah menaikkan harga tanahnya, dan peniaga-peniaga lain berebut-berebut membeli tanah di Sungai Buluh. Sehubungan dengan rancangan ini, banyak projek-projek perumahan telah didirikan sebagai mengambil langkah merebut peluang perniagaan. Jika ada pembangunan dan projek baru, akan ada juga peluang pembangunan yang baru.

vii.Melalui Pergaulan Harian

Perhubungan dan pergaulan harian kita dapat memberi peluang perniagaan kepada kita. Dengan cara mengumpulkan maklumat-maklumat yang diberi, mungkin ia dapat diubah kepada satu perniagaan dan kadangkala tawaran terus kepada kita sebagai peluang perniagaan. Misalnya jika kita bergaul dengan pengurus bank, sedikit sebanyak maklumat-maklumat yang kita bincangkan bersama dapat dijadikan perniagaan. Lihat apa yang diusahakan oleh rakan-rakan kita. Dengar apa yang dicakapkan oleh orang-orang di sekeliling kita, proseskan, maklumat ini sebagai sumber perniagaan.

viii.Melalui Bacaan

Segala idea-idea baru yang diketahui oleh orang ramai melalui bacaan. Segala teknologi baru yang akan dikeluarkan biasanya disiarkan di suratkhabar atau di majalah. Jadi sebagai bakal usahawan, seseorang itu mestilah cepat mendapat maklumat-maklumat ini dan bertindak segera sebelum diketahui orang lain. Peluang-peluang perniagaan banyak terdapat di suratkhabar tetapi orang ramai tidak dapat mengenal pastinya sama ada ianya peluang perniagaan. Hanya orang yang mempunyai sifat-sifat usahawan dapat mengetahui yang mana peluang perniagaan dan yang mana bukan. Misalnya, suratkhabar dan majalah selalu mengeluarkan iklan mencari pengedar, mencari rakan kongsi, menjual perniagaan dan sebagainya. Bacaan-bacaan harian dapat membawa kita kepada peredaran pasaran, pembangunan negara dan mengetahui teknologi-teknologi yang baru di pasaran.

viiii. Melalui Kemahiran Yang Ada

Kemahiran seseorang merupakan punca perniagaan, di mana kemahiran ini boleh dijual sebagai perkhidmatan atau kemahiran ini boleh mereka jadikan barang-barang baru untuk dijual. Contohnya, tukang-tukang besi yang membuat pagar-pagar besi dan rekabentuk daripada besi. Ahli senireka yang membuat barang seni yang dijualkan di pasaran dan pelukis-pelukis yang menjual lukisannya. Seseorang yang pakar dalam bidang pendawaian elektrik sesuai untuknya berniaga sebagai juruelektrik dan pemasangannya. Sesiapa yang banyak pengetahuannya boleh menjual pengetahuannya untuk ceramah, seminar dan lain-lain kursus. Banyak lagi kemahiran yang boleh digunakan sebagai peluang perniagaan.
 

KAEDAH MENGENAL PASTI, MENGKAJI DAN MEMILIH PELUANG PERNIAGAAN
 

Proses Mengenalpasti, Mengkaji Dan Memilih Peluang Perniagaan

Terdapat empat langkah utama yang perlu dilakukan oleh seseorang usahawan atau bakal usahawan dalam mengenalpasti, mengkaji dan memilih peluang-peluang perniagaan. Langkah-langkah tersebut ialah :

Langkah 1 Mengenalpasti keperluan dan kehendak pelanggan

Langkah 2 Menganalisis persekitaran, penilaian diri dan nilai masyarakat

Langkah 3 Menilai peluang-peluang perniagaan

Langkah 4 Memilih peluang perniagaan dan merangka rancangan perniagaan

LANGKAH 1

Mengenalpasti Keperluan dan Kehendak Pelanggan

Setiap perniagaan bermula dari wujudnya keperluan dan kehendak pelanggan terhadap sesuatu barangan. Keperluan merupakan sesuatu yang asas yang mesti diperolehi, dimiliki dan digunakan dalam kehidupan seseorang. Ini termasuklah makanan, pakaian, perlindungan, pendidikan dan keselamatan.

Namun demikian, manusia juga mempunyai kehendak yang merupakan keinginan atau kemahuan peribadi untuk sesuatu yang lebih sempurna daripada yang asas. Kehendak seseorang itu lebih dipengaruhi oleh budaya, tahap pendidikan, tahap kemampuan dan keperibadiannya.

Keperluan dan kehendak manusia adalah terhad dan pelbagai. Ini membuka banyak peluang perniagaan untuk penawaran produk dan perkhidmatan.

Produk adalah sesuatu yang mempunyai rupabentuk fizikal bagi memenuhi samada secara langsung atau tidak langsung keperluan dan kehendak pelanggan.

Perkhidmatan pula adalah sesuatu yang tidak mempunyai rupabentuk fizikal tetapi mampu memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan.

Maka, seseorang usahawan mesti sentiasa peka tentang perubahan-perubahan yang berlaku dalam keperluan dan kehendak untuk mengenalpasti peluang-peluang perniagaan yang wujud.
 

LANGKAH 2

Menganalisis Persekitaran, Penilaian Diri dan Nilai Masyarakat.

Dalam usaha meninjau peluang-peluang perniagaan terdapat 3 perkara penting yang perlu diambilkira iaitu persekitaran, penilaian diri dan nilai masyarakat.

Persekitaran.

Dalam meninjau persekitaran faktor-faktor berikut boleh juga diambilkira :
 
 

Struktur penduduk, pendapatan dan citarasa.

Perubahan struktur penduduk, peningkatan pendapatan dan perubahan citarasa masyarakat boleh membuka peluang-peluang perniagaan. Mengenai perubahan struktur penduduk, sekiranya peratusan golongan belia lebih besar daripada golongan tua dan kanak-kanak, maka keadaan ini akan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan yang berkaitan dengan keperluan dan kehendak golongan remaja.

Mengenai peningkatan pendapatan pula ia akan meninggikan kuasa membeli dan kemampuan pengguna. Ini membuka peluang dalam pelbagai bidang perniagaan yang sesuai dengan taraf pendapatan masyarakat setempat. Contohnya, kesan daripada peningkatan pendapatan, permintaan ke atas kereta akan meningkat. Ini akan membuka banyak peluang perniagaan yang berkaitan seperti perniagaan alat-ganti, aksesori, tayar dan bateri.

Begitu juga dengan perubahan citarasa pelanggan yang mewujudkan berbagai peluang perniagaan. Contohnya apabila penerimaan masyarakat setempat terhadap makanan segera meningkat, lahirlah berbagai-bagai jenis tempat makanan segera seperti restoren "KFC", "Mc. Donald", "A&W" dan "Pizza Hut".

Kajian Ke Atas Data Import dan Eksport.

Nilai dan kuantiti import dan eksport sesuatu produk atau perkhidmatan yang meningkat dari masa ke semasa menggambarkan ada potensi pasaran tempatan dan antarabangsa. Begitu juga dengan dasar-dasar industri penggantian import dan galakan eksport boleh dilihat sebagai peluang perniagaan yang menguntungkan.

Kajian terhadap Sumber Tempatan dan Penemuan Teknologi.

Terdapat banyak sumber tempatan yang masih belum dimajukan dan berpotensi sebagai peluang perniagaan. Penemuan-penemuan teknologi terbaharu dapat memajukan sumber-sumber tersebut dan memberi peluang kepada usahawan mengusahakannya secara kecil-kecilan atau besar-besaran. Perkara ini dapat dilihat dalam kemajuan industri kraftangan dan industri hasil pertanian.

Rantaian Industri.

Pengeluaran sesebuah industri mungkin memerlukan input daripada industri-industri lain. Begitu juga keluarannya menjadi input kepada industri-industri lain. Dengan ini wujud interaksi atau rantaian antara industri daripada sektor yang sama atau sektor yang berlainan.

Contohnya : Kemunculan industri berat seperti perusahaan kereta nasional memberi peluang kepada pertumbuhan industri-industri kecil sebagai industri sokongan.

Rantaian Industri Perusahaan Kereta Nasional

Rantaian ke Belakang Rantaian ke Hadapan

Industri komponen Pengedaran kereta

Pengangkutan PERUSAHAAN Bengkel kereta

Restoren/gerai makanan KERETA Pembekal Alat Ganti

Pembersihan NASIONAL Kereta Sewa

Pembekalan (PROTON) Pengangkutan Lori

Rancangan Pembangunan Kerajaan dan Swasta.

Terdapat berbagai program pembangunan ekonomi kerajaan yang telah memberi peluang perniagaan kepada usahawan secara langsung atau tidak langsung. Contohnya dalam Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Kompleks Kerajaan Putra Jaya di Sepang, Bandar Industri Proton di Tanjung Malim, pembukaan bandar-bandar baru, tapak perindustrian baru, dasar penswastaan, dasar pertanian negara dan dasar industri negara.
 
 

Meneliti Peluang perniagaan melalui akhbar, majalah tempatan dan luar negeri.

Mengkaji Masalah Sosial Setempat.

Undang-undang dan peraturan.

Penilaian Diri.

Perkara kedua yang perlu diambil kira dalam meninjau peluang-peluang perniagaan ialah dengan melihat apa yang ada pada diri seseorang. Ini adalah penting untuk diseimbangkan dengan peluang-peluang yang ada sebelum dimajukan. Faktor-faktor yang perlu diambil kira termasuk :

Pengalaman

Ramai usahawan menjalankan perniagaan yang sesuai dengan pengalaman yang dimiliki terutamanya melalui pengalaman kerjaya. Contohnya, seorang jurutera yang pernah berkhidmat dengan Jabatan Kerja Raya berkemungkinan untuk menjadi seorang kontraktor apabila melihat peluang-peluang kontrak yang terbuka luas. Manakala, seorang pensyarah fesyen mungkin meletakkan jawatan kerana ingin menumpukan sepenuh masa dan tenaga terhadap perniagaan butik pakaian.

Pengetahuan dan Kemahiran

Pengetahuan dan kemahiran ada kaitan dengan pengalaman yang dimiliki. Pengetahuan dan kemahiran penting untuk menentukan yang seseorang itu benar-benar tahu apa yang hendak dilakukan ke atas perniagaan yang akan diceburi. Contohnya, seseorang kontraktor bukan sahaja mesti mengetahui bagaimana hendak menguruskan perniagaan tetapi juga perlu mengetahui bagaimana hendak membina sebuah bangunan. Walaupun dalam dunia perniagaan yang sebenarnya usahawan tersebut boleh mengupah orang lain atau mencari rakan kongsi yang berkemahiran dalam bidang berkenaan tetapi adalah lebih baik usahawan itu sendiri yang memiliki kemahiran tersebut melakukannya supaya dapat menambahkan keyakinan diri dan tidak tertipu dengan gelagat orang lain.

Kedudukan Kewangan

Kedudukan kewangan adalah faktor penting sama ada peluang perniagaan itu dapat dimajukan atau sebaliknya. Sumber kewangan yang mencukupi sama ada dalam bentuk wang tunai atau aset tetap akan menjadi penentu kepada jenis perniagaan dan saiz pelaburan yang terlibat dalam sesebuah perniagaan yang terpilih.

Walaupun seseorang boleh memikirkan sumber-sumber lain seperti pinjaman dari institusi-institusi kewangan tetapi sebahagian daripada kos projek adalah daripada usahawan itu sendiri. Justeru itu perniagaan yang dicadangkan mesti sesuai dengan kemampuan pelaburan yang boleh disediakan.

Minat

Bidang perniagaan yang hendak dipilih mestilah berdasarkan kepada minat. Minat dapat memberikan keyakinan dan rasa tanggungjawab yang lebih ke atas perniagaan yang akan dimajukan. Bidang perniagaan dianggap sebagai satu profesyen yang memerlukan disiplin dan peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi.

Jaringan Perhubungan (networking)

Sesuatu peluang perniagaan yang wujud akan menjadi sukar dimajukan oleh seseorang usahawan sekiranya jaringan perhubungan dengan orang lain sangat terhad. Contohnya, seseorang kontraktor binaan perlu mengenali banyak pihak seperti ahli-ahli politik, pegawai-pegawai tinggi kerajaan, pegawai-pegawai bank dan insuran, pembekal-pembekal bahan binaan, kontraktor-kontraktor lain dan ramai lagi untuk mudah mendapat dan menyempurnakan kontrak-kontrak tertentu.

Nilai Masyarakat

Setelah meninjau persekitaran dan menilai dirinya, usahawan juga perlu menentukan sama ada peluang yang akan diambil itu selaras dengan nilai-nilai masyarakat tempat operasi perrniagaan akan dijalankan. Adalah penting untuk memastikan supaya perniagaan yang bakal dijalankan tidak bertentangan dengan nilai masyarakat setempat. Contohnya, walaupun perniagaan empat nombor ekor merupakan satu peluang perniagaan yang menguntungkan dan sah dari segi undang-undang tetapi ia bertentangan denagn nilai masyarakat Melayu yang beragama Islam.

LANGKAH 3

Menilai Peluang Perniagaan

Diperingkat ini usahawan mungkin ada dua atau lebih peluang perniagaan yang menarik dan ingin dimajukan. Walau bagaimanapun, pilihan perlu dilakukan sebab adalah sukar untuk seseorang memulakan berbagai perniagaan secara serentak. Proses menilai peluang-peluang perniagaan membantu usahawan memilih satu peluang perniagaan yang akan diberi sepenuhnya. Proses ini merangkumi empat faktor iaitu :

Sah Dari Segi Undang-undang

Seseorang usahawan mesti mempastikan peluang-peluang perniagaan yang ingin dimajukan itu sah dari segi undang-undang perdagangan. Contohnya, perniagaan membeli dan menjual kaset cetak rompak adalah salah dari segi undang-undang. Implikasi ke atas perniagaan yang tidak sah ialah ia tidak boleh didaftarkan, tidak layak memohon pinjaman daripada institusi kewangan dan boleh diambil tindakan undang-undang.

Kuasa Monopoli Dan Tahap Persaingan

Seseorang usahawan juga seharusnya memilih peluang perniagaan yang tidak dimonopoli oleh sesuatu pihak atau kumpulan tertentu. Jenis perniagaan ini banyak mendatangkan masalah terutamanya masalah sabotaj dan penembusan pasaran terkawal. Contohnya, kerajaan mengeluarkan permit import kepada orang perseorangan dan kumpulan untuk membawa masuk Limau Mandarin ke negara ini tetapi tidak ramai pengusaha yang berani merebut peluang tersebut. Ini memandangkan perniagaan berkenaan telah dikuasai oleh sekumpulan peniaga yang mempunyai persatuan dan rantaian yang kukuh dan tidak membenarkan orang lain berbuat demikian.

Urusniaga mesti dibuat melalui pedagang di Singapura dan Hong Kong.

Keadaan yang sama juga berlaku dalam pengimportan dan pembekalan cili kering, bawang dan kentang yang dimonopoli oleh pengimport dan pemborong yang beroperasi di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.

Usahawan juga perlu memikirkan tahap persaingan dalam menentukan jenis perniagaan yang akan diceburi. Adalah wajar untuk tidak menceburi bidang perniagaan yang telah "sesak" yang tahap persaingannya terlalu kuat kecuali usahawan itu mempunyai sumber bahan mentah yang murah atau sesuatu formula pengeluaran unik yang tidak dimiliki oleh orang lain.

Dalam memilih peluang perniagaan, adalah wajar untuk menyenaraikan setiap peluang dengan tahap pesaingan sama ada tinggi, rendah atau sederhana. Seseorang usahawan perlu memilih jenis perniagaan yang mempunyai tahap persaingan yang rendah supaya mampu untuk menguasai pasaran produk atau perkhidmatan dengan mudah.
 
 

Keperluan Modal

Mengkaji keperluan modal yang diperlukan bagi memulakan perniagaan adalah penting. Modal diperlukan bagi membiayai pelaburan ke atas harta tetap (tanah, bangunan, mesin dan peralatan) dan modal pusingan. Pembiayaan perniagaan boleh dilakukan sama ada menggunakan sumber kewangan sendiri atau daripada sumber luaran seperti menerusi pinjaman bank, syarikat kewangan dan koperasi. Perniagaan yang akan dijalankan mesti bersesuaian dengan sumber-sumber kewangan yang ada untuk mempastikan usahawan tidak menghadapi masalah selepas perniagaan bermula.

Risiko

Usahawan tidak boleh mengambil peluang perniagaan yang ada selagi tidak mengambil kira risiko yang akan dihadapi. Dalam perniagaan, risiko merupakan kemungkinan berlakunya kejayaan atau kegagalan. Oleh sebab itu, usahawan perlu mengenalpasti risiko yang bakal dihadapi dengan mengambil kira berapakah peratusan kejayaan dan peratusan kegagalan. Berdasarkan pengiraan ini, usahawan akan membuat keputusan sama ada akan meneruskan perniagaan tersebut atau tidak.

Pada amnya, darjah (tinggi atau rendah) risiko yang akan dihadapi oleh seseorang usahawan bergantung kepada tiga faktor. Pertama, susah atau senang untuk memasuki sesuatu bidang perniagaan. Kedua, besar atau kecil kadar keuntungan yang diharapkan daripada perniagaan yang bakal diusahakan.

Secara umum, terdapat dua (2) jenis risiko yang besar yang perlu diberi perhatian sebelum dan semasa menjalankan perniagaan. Risiko tersebut terdiri daripada risiko perniagaan dan risiko kewangan.

Risiko perniagaan boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Pertama, risiko yang boleh dipindahkan kepada pihak lain iaitu diinsurankan seperti kebakaran, kecurian harta benda perniagaan dan kecederaan pekerja. Kedua, risiko yang boleh dikawal oleh usahawan tetapi tidak seratus peratus seperti jangkaan pasaran, kadar pemberhentian pekerja, kualiti barangan dan kerosakan jentera. Ketiga, risiko yang tidak boleh dikawal oleh usahawan seperti kemelesetan ekonomi, kenaikan dan kejatuhan nilai matawang serta bencana alam.

Risiko kewangan termasuk :-

Tahap Kecairan (Ketunaian)

Jika tahap kecairan perniagaan adalah rendah (kurang cair) ada kemungkinan perniagaan akan menghadapi masalah menyelesaikan hutang jangka pendek seperti hutang kepada pembekal dan overdraf.

Pinjaman

Sekiranya ingin membuat pinjaman, usahawan mesti juga sanggup membayar hutang. Setiap pinjaman ada risiko memandangkan jumlah bayaran balik pinjaman adalah tetap (pokok & faedah) sedangkan hasil jualan sentiasa berubah-ubah.

Kredit

Sekiranya dasar syarikat memberi kredit kepada pelanggan, usahawan akan menghadapi risiko dalam mendapatkan semula kredit (hutang) tersebut.

Tukaran Wang Asing

Sekiranya perniagaan tersebut melibatkan pertukaran wang asing, usahawan terpaksa menanggung risiko yang berkaitan dengan turun atau naik nilai mata wang yang diurusniagakan.

LANGKAH 4

Memilih Peluang Perniagaan dan Merangka Rancangan Perniagaan
 
 

Setelah beberapa peluang perniagaan menjalani proses penilaian, usahawan boleh memilih satu peluang perniagaan sahaja yang akan dimajukan seterusnya. Sama ada peluang perniagaan tersebut boleh dilaksanakan atau tidak bergantung kepada kajian-kajian yang dibuat dalam aspek Rancangan Pentadbiran, Rancangan Pemasaran, Rancangan Operasi dan Rancangan Kewangan. Perbincangan lanjut mengenai aspek-aspek ini akan dibincangkan dalam bab-bab berikut.

RUMUSAN

Proses mengenal pasti, mengkaji dan memilih peluang perniagaan adalah langkah awal yang harus diambil oleh setiap usahawan atau bakal usahawan dalam menentukan perniagaan atau projek yang bakal diceburi.

Langkah yang diutarakan di atas dapat membantu mereka memikirkan tentang peluang-peluang perniagaan yang sesuai untuk dimajukan. Langkah-langkah ini adalah penting bagi mengurangkan kesilapan usahawan dalam memajukan peluang perniagaan mereka.

Analisis Peluang Perniagaan

(Masa 20 minit)

Langkah Pertama

Sila catatkan seberapa banyak idea-idea perniagaan yang ada di fikiran anda:

_________________________________________________________________
_________________________________________________________________
_________________________________________________________________
__________________________________________________________________
__________________________________________________________________
__________________________________________________________________

Langkah Kedua

Ambil tidak lebih dari 3 idea di atas (yang paling sesuai dengan diri anda) dan kaji berdasarkan kriteria-kriteria berikut :
 

Idea I Idea II Idea III

Pasaran
 

A1. Bakal-bakal Pelanggan anda

(tandakan /)

1.Kerajaan

2. Swasta

3. Individu
 
 

A2. Jika sebahagian dari pelanggan anda adalah individu, sila nyatakan kategori bakal- bakal pelanggan anda. (Tandakan /)

Bayi (0-1 tahun)

Kanak-kanak (kurang 12 tahun)

Remaja (Bawah 21 tahun)

Dewasa (Bawah 55 tahun)

Orang Tua (56 tahun ke atas)
 
 

A3. Kumpulan Pendapatan Isirumah

Di bawah RM 500.00

501 - 1000

1001 - 2000

2001 ke atas
 
 

A4. Kawasan Pasaran (Tujuan untuk mengetahui jumlah populasi)

Bandar

Pinggir Bandar

Luar Bandar …………….. …………………….
 
 

Kewangan (Isikan )

B1. Anggarkan jumlah modal yang diperlukan

B2. Sumber Modal

Sendiri

Pinjaman
 

Kajian Teknikal (Jika Berkaitan)
 

0utput/ Barang Siap ----------------------------------------

Kemahiran

i.Apakah Kemahiran Anda ?

-----------------------------------------------------------------------------------------
-----------------------------------------------------------------------------------------
-----------------------------------------------------------------------------------------
-----------------------------------------------------------------------------------------

ii.Apakah pengalaman anda berkaitan dengan dunia perniagaan ?

-----------------------------------------------------------------------------------------
-----------------------------------------------------------------------------------------
-----------------------------------------------------------------------------------------
-----------------------------------------------------------------------------------------
 

Langkah Ketiga

Namakan bakal-bakal pesaing-pesaing anda.
 

Nama Pesaing Kekuatan Kelemahan

1. ............................... 1. ................................... 1. ...................................

2. ............................... 2. .........………………… 2. ……............................

3.................................... 3. ………………………. 3. ……………………….

4. ................................... 4. ................................... 4. ………………………

5. ................................... 5. ................................... 5. ………………………

2. ................................ 1. ................................... 1. ....................................
 
 

3. ................................ 1. ................................... 1. ....................................

2. ................................... 2. ....................................

3. ................................... 3. ....................................

4. ................................... 4. ....................................

5. ................................... 5. ....................................

Lain-lain
 

Langkah Keempat

Senaraikan risiko cadangan perniagaan anda.
 

Idea I Idea II Idea III

............................... ................................... ................................

(Jenis Perniagaan) (Jenis Perniagaan) (Jenis Perniagaan)
 

1. ........................... 1. .............................. 1. .............................

2. ........................... 2. .............................. 2. .............................

3. ........................... 3. .............................. 3. .............................

4. ........................... 4. .............................. 4. ..............................

5. .......................... 5. .............................. 5. ...............................
 

MENGETAHUI CARA-CARA MEMULAKAN PERNIAGAAN

Faktor-faktor Yang Dipertimbangkan Apabila Memulakan Perniagaan
 

Modal

Usahawan mesti mempunyai modal yang cukup untuk memulakan dan menjalankan perniagaan.

Jumlah modal yang diperlukan bergantung kepada saiz dan jenis perniagaan, lokasi perniagaan, dan jumlah kredit yang hendak diberikan kepada para pelanggan.

Modal boleh datang daripada simpanan sendiri atau pinjaman daripada sahabat handai atau sanak saudara ataupun dari bank. Bagi mendapatkan pinjaman bank, satu kertas kerja perlu disediakan untuk meyakinkan pihak bank tentang kemampuan membayar balik pinjaman.

Lokasi (Tempat Perniagaan)

Usahawan mesti bijak memilih lokasi yang strategik atau sesuai bagi menjamin kejayaan perniagaan. Perniagaan harus diletakkan di tempat yang mempunyai daya kuasa beli yang tinggi dan kurang persaingan.

Pemilihan lokasi juga boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti modal, kos sewa, persaingan, kemudahan infrastruktur, undang-undang dan lain-lain.

Minat, pengetahuan dan pengalaman

Usahawan mesti mempunyai minat dalam perniagaan. Minat itu mestilah berkekalan dan bukan sekadar sementara waktu sahaja. Jika tidak, perniagaannya susah untuk dijalankan.

Usahawan juga perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang perniagaan yang akan diceburinya. Contohnya, jika dia hendak membuka kedai pakaian, dia mesti tahu dari mana untuk mendapatkan stok pakaian itu.

Usahawan juga harus memperoleh pengetahuan dan pengalaman mengenai selok-belok pengurusan, mengurus wang, stok, masa, melayan pelanggan, menyimpan rekod dan akaun- serta lain-lain lagi.
 
 

Pengalaman boleh diperoleh dengan cara bekerja, sebagai pembantu dalam bidang perniagaan yang berkenaan.

Pengetahuan boleh diperoleh dengan belajar di sekolah, maktab atau universiti, membaca buku-buku yang berkenaan, mengikut kursus perniagaan, bertanya, berbincang dan memerhati peniaga-peniaga lain menjalankan perniagaan mereka.
 

Jenis dan saiz perniagaan

Usahawan mesti menentukan jenis dan saiz perniagaan yang hendak dijalankan. Jenis perniagaan hendaklah bersesuaian dengan kebolehan, pengetahuan dan pengalamannya.

Saiz perniagaan hendaklah juga bersesuaian dengan modal yang ada, kebolehan, pengalaman dan pengetahuan untuk mengawal dan mengurus perniagaan itu. Saiz perniagaan yang kecil mudah dimulakan serta diurus. Perniagaan secara besar-besaran memerlukan modal yang besar dan tidak begitu mudah dikendalikan.

Persaingan

Usahawan juga mesti memikirkan tentang persaingan yang akan dihadapinya. Kajian perlu dibuat untuk mengenal pasti pesaing-pesaing, bilangannya, saiz perniagaan mereka, kekuatan dan kelemahan mereka dan sambutan para pelanggan terhadap perniagaan mereka.

Membuka perniagaan di tempat yang banyak mempunyai persaingan tentu tidak akan dapat menarik ramai pelanggan pada mulanya. Tetapi jika usahawan dapat memberi layanan yang lebih baik, pelbagai pilihan barang, harga yang berpatutan dan perkhidmatan selepas jualan yang memuaskan banyak pelanggan akan tertarik untuk kekedainya.

Bagaimanapun usahawan perlu mengadakan rancangan dan ikhtiar yang rapi dan bernas untuk mengatasi para pesaing.
 
 

Undang-undang dan peraturan

Usahawan mesti mengetahui undang-undang, peraturan-peraturan serta akta-akta yang mengawal perjalanan perniagaan dalam negara kita agar tidak melanggar undang-undang, peraturan, atau akta yang boleh menghalang perjalanan perniagaan.

Pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Tempatan, Majlis Bandaran atau Dewan Bandar Raya telah menetapkan jenis-jenis perniagaan yang boleh dijalankan di kawasan-kawasan tertentu serta jenis lesen yang diperlukan. Usahawan mestilah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Di samping itu, semua perniagaan mesti didaftarkan dengan pihak-pihak tertentu kecuali penjaja bergerai yanng hanya perlu mendapatkan lesen menjaja daripada pihak berkuasa tempatan.

Usahawan juga mesti mematuhi berbagi-bagai akta seperti Akta Perihal Dagangan, Akta Kawalan Harga, Akta Kawalan Bekalan dan lain-lain.

Sumber bekalan

Usahawan perlu mengetahui tempat-tempat di mana ia mendapat bekalan barang-barang dengan seberapa murah dan mudah.

Usahawan harus tahu pembekal mana yang dapat menawarkan diskaun dan kredit yang lebih baik.
 

Memulakan Sendiri

Seseorang boleh memulakan perniagaan sendiri jika ia mempunyai keyakinan dan kebolehan tentu ia akan berjaya. Untuk memulakan perniagaan sendiri, ia hanya perlu memastikan kewujudan perkara-perkara berikut :-

Pengalaman dan pengetahuan

Minat yang berterusan

Modal yang mencukupi

Punca bekalannya

Peraturan dan undang-undang tempatan

Jenis perniagaan yang ingin dijalankan

Lokasi perniagaan

Ramai pelanggan dan usahawan yang berjaya pada hari ini telah memulakan kegiatan perniagaan dengan sendiri.

Ambil Alih
 
 

Satu lagi cara untuk memulakan perniagaan ialah dengan mengambil alih atau bergabung. Ia bermaksud sebuah perniagaan yang sedang maju membeli atau bergabung dengan sebuah perniagaan yang lain dan mengambil alih pengurusannya. Di sini perkembangan perniagaan berlaku dengan cepat.

Apabila seseorang peniaga mengambil alih atau bergabung dengan sesuatu perniagaan, ia seharusnya menggunakan pengalaman dan pengetahuannya untuk :-

merundingkan harga yang terbaik

mendapatkan syarat-syarat bergabung atau ambil alih yang baik dari penjual.

Faktor-faktor yang dipertimbangkan apabila mengambil alih perniagaan :-

Kewangan perniagaan

Pada asasnya proses mengambil alih perniagaan lain perlulah mengambil kira langkah-langkah seperti membuat kajian awal untuk menilai kedudukan kewangan dan kadar keuntungan di samping meneliti dan memeriksa setiap butir kewangan yang disediakan oleh pemilik. Ia bertujuan memastikan kewangan perniagaan yang diambil adalah kukuh. Kajian juga termasuk mengkaji aset perniagaan yang ada seperti premis, lengkapan dan perabot agar mempunyai nilai semasa yang baik. Di samping itu, liabiliti perniagaan seperti pinjaman dan pemiutang juga perlu diketahui agar tidak menanggung beban hutang yang tinggi.

Faedah yang dinikmati

Kajian tentang kelebihan-kelebihan yang boleh didapati jika mengambil alih perniagaan tersebut juga perlu diambilkira, umpamanya dapat memiliki teknologi dan kepakaran yang ada. Begitu juga dengan aset seperti tanah dan bangunan yang boleh dimajukan untuk perkembangan masa hadapan. Bahagian pasaran yang telah dikuasai turut dinikmati dan pelanggan perniagaan dapat dikuasai.
 

Masalah yang dihadapi

Masalah-masalah yang dihadapi oleh perniagaan tersebut yang menyebabkan pemiliknya ingin menjualnya juga harus diambilkira untuk dikaji. Ini bertujuan supaya kita dapat menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi dan menjadikannya sebuah perniagaan yang menguntungkan. Contohnya, jika perniagaan tersebut menghadapi persaingan yang hebat, kenalpasti pesaing tersebut dan kaji kelemahan yang ada untuk mengatasi persaingan.

Potensi berkembang

Masa hadapan perniagaan tersebut hendaklah dikaji samada ianya berpotensi untuk berkembang maju lagi. Kajian masa hadapan ini boleh dilakukan dengan melihat statistik-statistik serta keadaan pasaran semasa. Umpamanya, perkhidmatan bas mini di kawasan Shah Alam diadakan berdasarkan kepada banyaknya kawasan perumahan dan perindustrian yang telah didirikan di mana terdapatnya banyak permintaan untuk perkhidmatan tersebut. Beberapa tahun yang lepas ia tidak diadakan kerana perkembangan dan pembangunan kawasan tersebut masih dalam perancangan.

Persaingan yang akan dihadapi

Persaingan yang akan dihadapi juga diambil kira. Buat kajian dan kenalpasti pesaing yang wujud. Kaji kelemahan dan kekuatan pesaing tersebut supaya kita boleh mengatur rancangan atau strategi untuk mengatasinya. Contohnya, jika pesaing mempunyai kepakaran tertentu, cuba pelajari kepakaran tersebut atau dapatkan kepakaran orang lain sebagai rakan kongsi atau diambil sebagai rakan kongsi atau diambil bekerja.

Minat dan kecenderungan yang ada

Minat dan kecenderungan semula jadi perlu ada apabila ingin mengambil alih perniagaan. Tanpa minat dan kecenderungan ini, sudah tentu apa yang dilakukan nanti tidak sampai ketahap yang dikehendaki. Minat dan kecenderungan merupakan asas bagi memulakan sesuatu perniagaan, oleh itu pastikan ianya wujud di hati kita.

Warisan

Ada juga perniagaan yang diwarisi daripada ibubapa, nenek moyangnya, atau warisan keluarga.

Jenis perniagaan ini biasanya kukuh dan telah lama wujud dalam perniagaan.

Diundang
 
 

Diundang bermaksud perniagaan yang kekal dan sudah wujud mengundang seseorang @ sesebuah syarikat untuk menjadi rakan kongsi @ bergabung dengan syarikat induk. Individu @ syarikat ini diundang kerana potensi yang ada padanya dan prestasi individu tersebut @ syarikat tersebut amat baik.
 

Francais
 

Definisi Sistem Francais

‘Vaughn’ mendefinisikan sistem francais sebagai :-

"Satu bentuk pemasaran atau pengagihan di mana sebuah syarikat induk secara lazimnya memberikan kebenaran, hak atau keistimewaan kepada seseorang individu atau satu syarikat yang secara relatifnya adalah kecil untuk menjalankan perniagaan mengikut tatacara yang ditentukan untuk satu jangkamasa tertentu dan pada satu tempat yang ditentukan dalam proses mengedarkan barang atau perkhidmatan yang sedia wujud".

Persatuan Francais Antarabangsa (IFA)2 pula mendefinisikan sistem francais seperti berikut :-

Satu sistem dan kaedah pengedaran.

Satu cara yang membolehkan individu-individu yang mempunyai modal yang mencukupi memiliki perniagaan yanng unik, selamat dan terbukti.

Satu sistem yang membolehkan tuan-tuan punya perniagaan mengembangkan perniagaan mereka dengan sebuah organisasi yang telah pun matang dan ternama.

Satu sistem yang akan berjaya sekiranya para francaisi diberi latihan yang secukupnya dan memahami serta mematuhi sistem dan prosedur yang ditetapkan oleh francaisor.

Persatuan Francais British (BFA) pula mendefinisikan konsep francais seperti berikut:-

"............. a contractual licence by one person (the Franchisor) to another (the Franchisee) which

Permits or require the franchisee to carry on during the period of the franchise, a particular business under or using a specific name belonging to or associated with the franchisor;

Entitles the franchisor to exercise continuing control during the period of the franchise over the manner in which the franchises carries on the business which is the subject of the franchise;

Obliges the franchisor to provide the franchisee with assistance in carrying on the business which is the subject of the franchise (in relation to the organisation of the franchisee’s business, the training of staff, merchandising, management or otherwise).

Requires the franchisee periodically, during the period of the franchise, to pay to the franchisor sums of money in consideration for the franchise, or for goods or services provided by franchisor to the franchisee; and

Which not a transaction between a holding company and its subsidiary (adefined in Section 154 of the Companies Act 1948) or between and individual and a company controlled by him.
 

Ciri-ciri Utama Sistem Francais

Berdasarkan kepada definisi-definisi di atas ciri-ciri utama sistem francais bolehlah dirumuskan seperti berikut:-

Ianya adalah satu hubungan perniagaan secara kontrak di antara dua pihak (francaisor dan francaisi) yang ditubuhkan untuk mengagihkan/mengedarkan barangan dan/atau perkhidmatan melalui "outlets" tertentu untuk satu jangkamasa yang ditentukan atau tidak.

Ianya berdasarkan satu perjanjian dalam mana francaisor menganugerahkan kepada francaisi hak untuk menggunakan berbagai proses alat kelengkapan dan/atau sistem beroperasi serta nama baik (goodwill) francaisor di dalam mengeluar, menjual dan mengedarkan barangan dari jenama (trademark) perniagaan tertentu.

Kedua-dua pihak secara ekonominya adalah saling bergantung antara satu sama lain meskipun mereka adalah "business entity" yang berasingan.

Francaisor pada permulaan dan selanjutnya perlu membekalkan kepada francaisi dengan kepakaran mengelolakan perniagaan.

Francaisor dan francaisi akan bersama-sama mengawal kualiti barangan dan prosedur beroperasi demi nama baik tanda niaga.
 
 

Bentuk Dan Jenis-jenis Francais

Jenis-jenis perniagaan francais boleh diklasifikasikan seperti berikut :-

"Business Format Franchise / Local Authorised Franchise Holder"

Francaisi mendapat lesen untuk membuat dan memasarkan barangan daripada francaisor. Francaisor turut menawarkan format perniagaan yang lengkap kepada francaisi merangkumi hak penggunaan harta intelektual (logo, jenama, goodwill) strategi pemasaran, operasi, pengiklanan, perakaunan dan latihan kepada francaisi. Francaisor akan sentiasa memberi perhatian dan kawalan terhadap francaisi untuk mengekalkan reputasi syarikat mereka. Bagi francaisor daripada luar negeri misalnya ada juga yang memberi lesen kepada sesebuah syarikat tempatan sebagai "master francaisee’ di mana setelah syarikat tempatan itu sendiri telah membuka beberapa "outlet" sendiri dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh francaisor, syarikat tempatan itu sendiri dibenarkan pula melantik francaisi-francaisi lain. Contohnya, Pizza Hut, KFC, Mc Donald’s.

"Product Manufacturing / Franchise"

Francaisi mendapat lesen dari francaisor untuk mengilangkan barangan mengikut formula resepi atau rekabentuk yang disediakan oleh francaisor dan memasarkan barangan tersebut dengan menggunakan sistem pemasaran yang disediakan oleh francaisor. Contohnya, Coca-cola.

"Trademark / Brand Name License"

Barangan yang dibuat francaisor yang berlesen adalah pelbagai jenis. Francaisi diberi lesen untuk menjual barangan francaisor dan diberi ganjaran biasanya dalam bentuk komisyen. Penglibatan francaisor adalah kurang, cuma memastikan auditan penjualan yang berpatutan. Contoh : watak-watak Walt Disney, Pieree Cardin, Dunhill.

"Dealership/Distributorship Franchise"

Francaisi diwajibkan memasarkan barangan keluaran francaisor secara eksklusif mengikut peraturan dan kaedah yang ditentukan. Di waktu yang sama, francaisi diberi "monopoli" memasarkan barangan tersebut dalam satu kawasan geografikal yang tertentu. Contohnya, stesyen servis minyak dan pengedaran kereta.

"Promoter"

Francaisi bertindak sebagai promoter kepada francaisor. Barangan adalah pelbagai jenis yang dibeli daripada francaisor dan nama syarikat-syarikat francaisi adalah sama. Penglibatan francaisor dalam perniagaan dalam syarikat francais adalah mendalam, daripada modal, bahan mentah sehinggalah kepakaran pengurusan dan pemasaran. Contohnya : PERNAS EDAR (Kedai G-Mart).

Kebaikan Sistem Francais

Terdapat beberapa kebaikan bagi usahawan memilih sistem perniagaan francais jika dibandingkan dengan memulakan sesuatu perniagaan secara sendiri iaitu :-

Risiko yang lebih rendah dibandingkan dengan percubaan memulakan satu perniagaan yang belum tentu terbukti berdaya maju.

Bakal usahawan/francaisi berpeluang memperdagangkan satu produk atau perkhidmatan yang sudah terkenal jenamanya.

Faedah ekonomi bidangan daripada produk serta daripada pembelian secara pukal oleh francaisor.

Francaisi berpeluang menjalankan satu perniagaan dengan kaedah pengurusan yang telah terbukti kejayaannya.

Terdapat panduan perniagaan yang lengkap untuk memulakan perniagaan. Boleh diceburi walaupun tiada pengalaman memperniagakan produk berkenaan sebelumnya.

Francaisi mendapat khidmat sokongan francaisor yang kukuh kedudukannya dalam jangka panjang.
 

Faktor Penghalang Kepada Francaisi

Terdapat beberapa halangan yang perlu ditempuhi oleh francaisi di dalam perniagaan secara francais, iaitu :-

Perlu membuat bayaran yang kadangkalanya sangat besar untuk mendapatkan hak ke atas jenama produk dan bagi mendapatkan pakej yang disediakan oleh francaisor.

Sungguhpun francaisi merupakan entiti perniagaan yanng bebas tetapi tertakluk kepada peraturan dan kaedah pengoperasian perniagaan yang ditetapkan oleh francaisor.

Perlu berhati-hati di dalam memilih francaisor untuk mengelakkan daripada tertipu.

Faktor Kejayaan Perniagaan Francais

Perkara-perkara berikut hendaklah diberi perhatian jika inginkan perniagaan francais yang berjaya :-

Produk yang dihasilkan hendaklah berkualiti tinggi, seragam pada harga yang kompetitif dan sebaik-baiknya adalah unik.

Promosi produk dibuat secara berterusan dan ditujukan kepada semua golongan pengguna.

Lokasi perniagaan hendaklah strategik.

Latihan dijalankan secara sistematik, kemas dan berkesan. Selain daripada aspek pengoperasian, program latihan hendaklah juga difokuskan kepada pembangunan sikap, etika niaga dan keupayaan menguruskan harta.

Francaisor menyediakan pakej francais yang lengkap, terutamanya dalam bentuk garis panduan atau ‘manual’ yang menerangkan dengan terperinci dan tepat setiap proses dan aktiviti perniagaan serta mudah difahami.

Pembesaran perniagaan melalui pembukaan ‘outlet’ hendaklah berpandukan hasil kajian pasaran.

Peruntukan undang-undang perlu disediakan untuk memupuk pertumbuhan industri francais yang sihat.

Faktor terpenting adalah mengenai kualiti usahawan. Proses pemilihan yang rapi diperlukan bagi mempastikan bahawa tidak berlaku "mismatch" di antara francaisi dan francaisor.
 

Panduan Kepada Usahawan Untuk Memilih Perniagaan Francais

Sebelum mengambil keputusan untuk memilih sesuatu perniagaan francais, beberapa perkara perlu diambilkira dan dipertimbangkan supaya pemilihan yang dilakukan adalah tepat dan seterusnya boleh menguntungkan dalam jangka panjang. Perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan adalah seperti berikut :-
 
 

Jenis Perniagaan

Usahawan perlu menentukan apakah jenis perniagaan yang ingin diceburi. Pilih jenis perniagaan yang sesuai dengan minat dan kemahiran yang ada.

Kadar Kejayaan Perniagaan Francais

Perniagaan francais yang telah terbukti mempunyai peratusan kadar kejayaan yang tinggi akan memberi peluang terbaik untuk francaisi turut berjaya dalam perniagaannya.

Kadar Pertumbuhan Perniagaan

Kadar pertumbuhan perniagaan boleh diukur dengan bilangan ‘outlet’ yang telah dibuka oleh francaisor tersebut. Ia merupakan petunjuk yang baik untuk menilai keuntungan dan potensi peluang francais yang disediakan oleh francaisor.

Keuntungan Syarikat

Kedudukan kewangan syarikat francais boleh dilihat dari laporan tahunan yang dikeluarkan. Syarikat yang menunjukkan keuntungan yang tinggi dan berterusan memberi jaminan bahawa francaisi akan mendapat sokongan berterusan.

Pengalaman Perniagaan

Untuk meminimakan risiko pelaburan, perniagaan francais yang hendak dipilih perlu mempunyai rekod kejayaan dan pertumbuhan yang baik untuk beberapa tahun.

Saiz Sistem Rangkaian

Syarikat francais yang mempunyai saiz sistem rangkaian yang besar dan bersistematik boleh memberi kebaikan dari segi ekonomi bidangan (belian stok, iklan dll).

Kedudukan Syarikat Dalam Industri

Pilih syarikat yang menjadi ‘leader’ dalam industri tertentu supaya perniagaan boleh terus bertahan walau dalam keadaan ekonomi yang tidak baik.

Bantuan Pemilihan Tapak Premis

Francaisor yang bertanggungjawab biasanya akan membantu francaisi dalam proses pemilihan tapak premis/outlet. Dengan pengalaman yang dimilikinya, francaisor tentunya akan mendapatkan tapak di tempat yang strategik sesuai dengan jenis perniagaan.

Rekabentuk Dan Hiasan Dalam Outlet

Francaisor yang bertanggungjawab juga akan membekalkan kemudahan dan bantuan dalam menyediakan rekabentuk dan hiasan dalam outlet untuk memastikan bahawa outlet francaisi adalah seragam dengan konsep francais keseluruhannya.

Latihan

Lebih lengkap pakej latihan francais maka lebih cerah peluang untuk berjaya dalam perniagaan francais.
 

Sokongan Berterusan

Sokongan yang berterusan terutama dalam aspek teknikal dan operasi dari pihak francaisor amat penting dalam perniagaan francais.

Hak Eksklusif Wilayah

Pihak francaisor perlu menentukan hak kewilayahan kepada setiap francaisi supaya tidak timbul masalah persaingan di antara sesama perniagaan francais di dalam wilayah yang sama. Saiz wilayah tersebut bergantung kepada kepadatan penduduk, demografi dan bilangan pelanggan yang diperlukan oleh francaisi untuk menyokong perniagaan outletnya.

Perjanjian Francais

Sebelum menandatangani sesuatu perjanjian francais, pastikan bahawa perjanjian tersebut disemak terlebih dahulu dengan terperinci. Langkah yang paling baik ialah dengan menyemaknya dengan Peguam yang pakar dalam bidang francais.

Pengesahan Syarikat

Sebelum bersetuju untuk menandatangani perjanjian dan membayar yuran francais, pastikan dahulu bahawa syarikat francais tersebut adalah syarikat yang berdaftar dan sah di sisi undang-undang. Buat semakan di pejabat Pendaftaran atau dari sumber lain seperti buku dan majalah perniagaan serta teliti dokumen penzahiran syarikat tersebut.

Yuran Francais

Pastikan terlebih dahulu bahawa yuran francais yang dikenakan seharusnya sepadan dengan apa yang bakal kita terima dari perjanjian francais dan perniagaan yang bakal dijalankan.
 

Bantuan Kewangan

‘Start-up’ kos untuk perniagaan francais biasanya di antara RM100,000 hingga RM800,000. Ia termasuk yuran francais, sewa premis dan peralatan, bekalan dan stok dan lain-lain perbelanjaan. Jika francaisor tersebut benar-benar ingin melihat kejayaan francaisinya, seharusnya ia membantu francaisi dari segi kewangan seperti penyewaan peralatan, membekalkan stok perniagaan dnegan cara kredit dan lain-lain.

Syarat-syarat Penyertaan

Kriteria yang ditetapkan untuk bakal-bakal francaisi menyertai Program Pembangunan Francais ialah :-

Bumiputera.

Individu (Permohonan dari syarikat Bumiputera boleh dipertimbangkan dengan syarat pemohon hendaklah mempunyai pegangan ekuiti minima sebanyak 70%).

Keutamaan diberi kepada calon yang berumur tidak lebih daripada 40 tahun.

Mendapat sokongan keluarga di dalam menjalankan perniagaan yang akan diceburi.

Boleh menumpukan sepenuh masa kepada perniagaan yang akan diceburi (atau selaku "owner-operator").

Mempamirkan kesungguhan diri.

Menyumbang tidak kurang daripada 30% daripada kos projek dalam bentuk tunai daripada sumber sendiri.

Dapat menyediakan cagaran (dalam bentuk geran tanah, sijil saham, sijil ASB dan sebagainya) untuk pinjaman yang diperlukan

Keutamaan diberi kepada -calon yang mempunyai kelulusan akademik dan pengalaman kerja yang berkaitan dengan bidang perniagaan yang akan diceburi.

Mempamerkan kemampuan untuk berdikari, berdaya kekal, berdaya saing dan bermotivasi tinggi.

Boleh bekerja secara berkumpulan di dalam satu rangkaian.

Mempunyai daya kepatuhan yang tinggi serta dapat mematuhi peraturan dan kaedah pengurusan perniagaan yang ditetapkan oleh francaisor.

Bersedia menjalani ujian psikometrik bagi mengenalpasti kekuatan dan kelemahan diri dengan biaya sendiri.

Bersedia menghadiri kursus-kursus tertentu, termasuk mengenai aspek pengukuhan sikap dengan biaya sendiri.

Dapat mengenalpasti premis atau lokasi yang sesuai dan strategik.

Bagi calon Francaisor Induk (Master Franchisee) pula, kriteria yang ditetapkan adalah seperti berikut :-

Badan korporat Bumiputera atau syarikat Bumiputera atau individu Bumiputera.

Bersedia membuat komitmen modal besar, jumlah berbeza antara satu produk dengan yang lain.

Mencadangkan struktur modal dengan nisbah pinjaman (gearing ratio) yang berpatutan, misalnya 3:7.

Dapat menyediakan jaminan dan/atau cagaran ke atas pinjaman yang diperlukan.
 
 

Menjalankan sendiri perniagaan tersebut atau mengenalpasti seorang eksekutif Bumiputera yang dapat menumpukan sepenuh masa kepada perniagaan yang akan diceburi.

Penguasa atau eksekutif tersebut mempunyai daya kepatuhan yang tinggi serta dapat mematuhi peraturan dan kaedah pengurusan perniagaan yang ditetapkan oleh francaisor.

Penguasa atau eksekutif tersebut bersedia menjalani ujian psikometrik bagi mengenalpasti kekuatan dan kelemahan diri dengan biaya sendiri.

Penguasa atau eksekutif tersebut bersedia menghadiri kursus-kursus tertentu, termasuk mengenai aspek pengukuhan sikap dengan biaya sendiri.

Menunjukkan kemampuan untuk memberi komitmen dalam jangkamasa panjang bagi membimbing ramai bakal francaisi yang akan menyertai rangkaian perniagaan yang diperluaskan.

Bersedia mengambil tindakan untuk mengkaji kesesuaian produk yang diminati, termasuk lawatan tinjauan ke Ibu Pejabat francaisor dan/atau ke operasi perniagaan produk yang sama di luar negara.

Berkemampuan untuk membangunkan "Business Plan" di dalam usaha mengenalpasti dayamaju (vialibility) projek yang akan dilaksanakan kelak.

Ciri-ciri lain berkaitan sepertimana yang disyaratkan untuk bakal francaisi.