Make your own free website on Tripod.com

Topik 1 : MENGANALISIS IMEJ KENDIRI



 
 

MENGENALI KONSEP KENDIRI

Kendiri merupakan anggapan atau persepsi diri kita terhadap "jenis dan orang bagaimanakah diri kita ini". Ringkasnya ia adalah gambaran mental diri kita.

Bagaimanakah imej diri terbentuk?

Ia terbentuk hasil daripada "kepercayaan" kita terhadap diri kita sendiri. Penyelidikan menunjukkan bahawa personaliti kita ialah manifestasi zahir kepercayaan kendiri kita. Semua tindakan dan perasaan kita lazimnya sejajar dengan kepercayaan dominan kita.

Kepercayaan ialah fikiran atau idea-idea dalam minda anda yang anda terima sebagai benar. Kepercayaan anda terhadap diri sendiri sebahagian besarnya telah dicorakkan oleh tanggapan pengalaman yang lalu, kejayaan dan kegagalan, penghinaan dan kebanggaan, bagaimana anda dinilai oleh orang lain, reaksi orang lain terhadap kita dan pengetahuan yang diperolehi.

Kita kerapkali melihat diri sendiri sebagaimana orang lain juga melihat kita. Imej diri ini menjadi kunci kejayaan ke arah penghidupan yang lebih baik berdasarkan kepada fakta bahawa segala tindakan, perasaan dan perlakuan kita mahupun kebolehan diri adalah sentiasa beriringan dengan imej diri yang terbentuk.
 
 

Definisi Konsep Diri

Teori perkembangan kemajuan kerjaya melihat kemajuan vokasional / pekerjaan sebagai satu aspek proses kemajuan seseorang pada keseluruhannya. Don Super menganggap bahawa konsep kendiri memainkan peranan yang penting bagi kemajuan vokasional / pekerjaan seseorang.
 

"Setiap orang adalah unik dan berbeza dari segi kebolehan, minat dan keperibadian. Dia melihat dirinya dengan caranya sendiri dan kebolehan untuk melihat diri dari luar sebagai satu objek, ini akan membolehkannya mendapatkan gambaran mengenai dirinya sendiri yang dipanggil sebagai konsep kendiri." Konsep kendiri mungkin bersifat positif atau negatif. Biasanya sesiapa yang mempunyai konsep kendiri positif akan mempunyai keyakinan pada diri sendiri. Mereka inilah yang selalu berkeyakinan bahawa "saya boleh melakukan sesuatu dengan baik" atau "saya adalah seorang yang berguna".

Sementara sesiapa yang mempunyai konsep kendiri yang negatif selalu merasa bahawa, "saya tidak boleh melakukan perkara ini dengan baik" atau "saya bukan orang yang penting".

Kepentingan Mengenal Diri

Diantara kepentingan mengenali diri sendiri adalah seperti berikut.
 

  • Membolehkan diri sendiri memahami dan menerima diri kita sebagai individu yang unik.
  • Apabila kita dapat menerima diri sendiri, kita lebih bersedia menerima orang lain walaupun mereka berbeza dari kita.
  • membantu kita menjalinkan perhubungan mesra dengan orang lain seperti ahli keluarga, rakan, jiran dan orang-orang di sekeliling kita.
  • Mengenal diri kita juga membolehkan kita mengetahui kelebihan/kekuatan dan kekurangan / kelemahan diri sendiri.
  • Mengenal diri juga membantu supaya kita sedar akan kewujudan yang lebih besar iaitu Tuhan yang maha esa.


Kaedah Mengenal Diri

Kaedah mengenal diri terdiri dari 2 iaitu :-

  • Pengkajian sendiri
  • Pandangan atau maklumbalas orang lain.


Pengkajian Sendiri

Melalui kaedah ini, kita harus mengenalpasti sifat diri kita dengan mengkaji diri daripada pelbagai segi dari aspek-aspek diri. Dari sini kita akan dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Seterusnya kita akan menggunakan kekuatan diri untuk menjayakan tugas dan tanggungjawab kita. Sebaliknya dari kelemahan diri, kita mesti cuba memperbaiki atau mengatasi kelemahan tersebut.

Kamu boleh mengenalpasti sifat diri dengan mengkaji diri dari enam aspek seperti berikut:-

Fizikal

Mengenal diri dari aspek fizikal bermaksud mengetahui sifat tubuh badan sendiri. Terdapat sifat fizikal yang boleh diperbaiki, seperti kelihatan kemas dan sifat fizikal lain yang harus kita terima, seperti mempunyai lengan dan kaki yang panjang.

Kita harus menerima sifat fizikal kita secara positif dan tidak harus berasa rendah diri sekiranya mempunyai tubuh badan yang kurang menarik atau berbeza daripada orang lain. Sebaliknya setiap individu harus berbangga dengan diri mereka kerana masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri.

Mental - Emosi

Ia merujuk kepada aspek pemikiran dan perasaan seseorang.

Sosial

Aspek ini bermaksud perhubungan individu dengan orang lain dalam kehidupan hariannya.

Melalui pergaulan harian, kamu dapat membina tingkah laku yang positif dan memahami perbezaan-perbezaan dikalangan individu.

Minat

Ia merupakan kegemaran seseorang untuk melakukan sesuatu aktiviti yang dapat memberi kepuasan kepadanya. Orang yang berminat melakukan sesuatu tidak semestinya ia handal dalam bidang tersebut.

Kebolehan

Ia adalah keupayaan seseorang dalam melakukan sesuatu tugas atau kemahiran tertentu. Kadang-kadang ianya tidak mudah dikenalpasti. Ada kalanya setelah mencuba sesuatu yang baru, didapati bahawa kebolehan itu ada pada dirinya.

Nilai Peribadi

Ianya adalah pegangan dan pertimbangan terhadap sesuatu. Nilai-nilai ini akan mempengaruhi keputusan yang dibuatnya dalam pelbagai situasi harian. Ia boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu kebendaan seperti mementingkan kekayaan, harta, wang dan kelihatan cantik dan nilai bukan kebendaan seperti mementingkan penetapan masa, kasih sayang, tanggungjawab dan kemesraan.

Nilai peribadi yang dipentingkan harus diseimbangkan antara nilai kebendaan dengan nilai-nilai bukan kebendaan. Nilai peribadi seseorang boleh berubah mengikut masa. Misalnya semasa kecil seseorang hanya mementingkan bermain sahaja tetapi apabila semakin matang, dia belajar bersungguh-sungguh kerana kini dia lebih mementingkan kejayaan dalam pelajaran.

Pandangan Atau Maklumbalas Orang Lain ( Tingkap Johari )

Kamu boleh mengenalpasti sifat diri dengan mendapat maklum balas atau meminta pendapat daripada orang lain. Ada kalanya orang lain tidak melihat kamu sepertimana kamu melihat diri sendiri.

Pandangan orang lain terhadap sifat kamu mungkin positif, negatif atau bertentangan dengan pandangan kamu. Biasanya mudah bagi kita menerima pandangan positif atau pujian orang lain terhadap diri kita tetapi sukar bagi kita menerima pandangan dan kenyataan yang negatif.

Untuk mengenal diri melalui pandangan orang lain kamu harus :

  • bersedia menghormati pandangan orang lain.
  • membuat pertimbangan kendiri samada pandangan orang lain itu benar dan jujur. Ini penting khususnya bagi pandangan negatif agar kamu boleh membaiki kelemahan kendiri.
  • mengambil keputusan samada mahu menerima atau menolak pandangan orang lain.
Teori Tingkap Johari

Ibnu Khaldun ialah orang yang pertama memperkenalkan Konsep Tingkap Johari dan kemudiannya dipopularkan oleh Joe Luft dan Harry Ingham (Lihat Rajah di bawah).
 
 

Tingkap Johari ialah satu rajah mengenai bahagian-bahagian diri yang boleh membantu menerangkan bagaimana proses perkongsian sebahagian daripada diri anda bekerja. Rajah ini menunjukkan bahawa ada perkara-perkara tertentu yang anda tahu berkenaan diri anda dan ada perkara-perkara tertentu mengenai diri anda yang anda sendiri tidak tahu. Begitu juga ada perkara-perkara tertentu mengenai diri anda yang diketahui oleh orang lain dan ada pula yang mereka tidak tahu.

Sebelum Proses Mengenal Diri
 

Selepas Proses Mengenal Diri
 

Tingkap ini cuba memaparkan perkara-perkara tentang diri kita yang kita tahu dan yang kita tidak tahu. Andaian yang menjadi dasar di sini ialah ‘lebih banyak anda tahu tentang diri anda, maka lebih jelaslah komunikasi anda’. Justeru itu..................

Membina satu hubungan selalunya melibatkan bekerja ke arah meluaskan lagi ruangan bebas/terbuka di samping menyempitkan ruang yang gelap dan ruang yang tersembunyi /rahsia. Semasa anda menggalakkan orang lain mendedahkan maklumat tentang diri anda, ruang gelap akan menjadi semakin sempit atau berkurangan.

Dengan mengurangkan ruang tersembunyi/rahsia anda, anda memberi maklumat tentang diri anda yang membolehkan orang lain bertindak balas membantu mengurangkan ruang gelap anda.Dengan mengurangkan ruang gelap anda, pengetahuan anda tentang diri anda akan bertambah, ini membantu anda menjadi lebih mendedahkan diri anda kepada orang lain.

Anda membina penerimaan terhadap diri anda sendiri apabila anda mengetahui orang lain menerima anda. Hubungan di antara penerimaan diri anda, pendedahan diri dan diterima oleh orang lain adalah penting. Kalau anda tidak mendedahkan diri, anda tidak akan diterima oleh orang lain dan penerimaan diri anda sendiri tidak akan bertambah. Lebih banyak penerimaan diri maka lebih mudah anda mendedahkan diri..............

Sekiranya anda takut untuk membiarkan orang lain mengetahui tentang diri anda atau gerun tentang reaksi orang terhadap pendedahan diri anda, anda akan menjadikan diri anda tidak terbuka dan tidak mendedahkan diri dan dengan itu pula anda tidak mampu memudahkan pembinaan satu hubungan yang baik dengan orang lain.

Tindak balas penerimaan, penolakan atau sangkalan yang anda terima dari orang lain akan membantu anda membentuk konsep diri anda.
 

MEMBINA IMEJ KENDIRI

Definisi Imej Diri

Imej diri adalah anggapan atau persepsi diri kita terhadap ‘jenis dan orang bagaimanakah diri kita ini?’. Ianya terjadi hasil daripada kepercayaan kita terhadap diri kita sendiri.

Tetapi kebanyakan daripada kepercayaan mengenai diri kita adalah sebenarnya terjadi tanpa kita sedari hasil dari pengalaman-pengalaman kita pada masa lampau, kejayaan dan kegagalan, penghinaan dan kebanggaan kita serta reaksi orang lain terhadap kita.

Pakar psikologi dan kemanusiaan sependapat mengatakan bahawa harta yang paling bernilai bagi manusia ialah imej dirinya, iaitu gambaran mental mengenai siapakah dirinya. Gambaran ini menentukan reaksi kita terhadap hubungan kita dengan orang lain. Sebelum kita dapat diterima dan dapat meyakinkan orang lain, kita mestilah merasakan dan memastikan diri kita boleh diterima seperti yang ada. Kita mesti yakin dan percaya kepada diri sendiri.

Imej diri menjadi kunci kejayaan ke arah penghidupan yang lebih baik berdasarkan faktor bahawa segala tindakan, perasaan dan perlakuan kita mahupun kebolehan diri adalah sentiasa beriringan dengan imej diri yang telah terbentuk, iaitu kita akan bertindak sepertimana apa yang kita fikirkan mengenai diri kita dan kita tidak akan bertindak sebaliknya kerana ianya bukanlah diri kita.

Menurut Maznah Hamid dalam bukunya "MOTIVASI MEMBURU KEJAYAAN", imej diri yang meyakinkan adalah gabungan di antara empat perkara berikut :
 

  • Rasa Hormat Dan Bangga Diri (Self-esteem)

  • Nilaian terhadap diri sendiri, rasa penghormatan atau sayangkan diri sendiri. Jika kita tidak sayang dan menghargai diri kita sendiri, bagaimana orang lain akan menyayangi dan menghargai diri kita dan jika kita tidak yakin dan hormat pada diri kita, bagaimana nak harapkan orang lain akan yakin dan hormat pada diri kita.
  • Percakapan Kepada Diri Sendiri (Inner communication)

  • Mesej yang kita sampaikan kepada diri kita dan hati nurani kita amatlah memberi kesan kepada emosi dan tindak-tanduk kita. Tanpa kita sedari sebenarnya, setiap hari kita sampaikan beratus-ratus mesej melalui hati kecil kepada nurani kita sendiri dan mesej ini akan bertugas memberi arahan dalam bentuk rangsangan kepada urat saraf anggota badan kita untuk bertindak positif atau negatif. Oleh itu, latihlah diri kita supaya mesej atau kenyataan yang diberikan kepada diri kita adalah dalam bentuk positif sahaja.
     
  • Disiplin Diri

  • Bagaimana kita mendisiplinkan diri, membentuk tabiat dan sikap kita sebenarnya?. Mendisiplinkan diri kita bukan bererti kita harus menghadkan diri kita atau penafian diri yang membuat diri kita berada dalam keadaan pasif. Sebenarnya disiplin diri adalah merupakan ketetapan dan keteguhan hati. Ramai di antara kita yang tidak mempunyai disiplin diri yang kuat tapi hanya sekadar membiarkan keputusan hidup mereka ditentukan oleh takdir dan nasib.
     
  • Kawalan Diri
‘Kita berada di tempat duduk pemandu dan memegang stereng memandu kehidupan kita’. Kata-kata ini adalah dari seorang pujangga yang jika dianalisa, memang tepat ungkapan mengenai kehidupan kita. Apabila kita pemandu yang cekap, maka selamatlah perjalanan kita tetapi jika kita pemandu yang tidak cekap dan tidak berdisplin, maka terbabaslah kita bersama keluarga kita. Keempat-empat faktor tadi boleh membentuk imej diri yang meyakinkan. Kunci penghidupan yang lebih baik adalah terletak kepada imej diri seseorang. Maka untuk itu, kita haruslah berusaha membina imej diri yang sihat dan meyakinkan.

IMEJ KENDIRI YANG POSITIF

Seseorang yang mempunyai imej diri yang positif adalah orang yang sering berasa gembira, berkeyakinan diri dan mempercayai sepenuhnya pada dirinya sendiri. Sikap positif ini akan membolehkannya menghadapi masalah dan cabaran dengan tabah. Dia senang didampingi oleh orang lain.

Kesedaran diri yang positif ialah sebenarnya berfikiran terbuka. Sikap positif dapat memberi kita semangat, dorongan dan sokongan dalam keadaan yang amat rumit dan genting, disamping mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan itu. Jika kita benar-benar percaya dan yakin bahawa matlamat yang dirancang dapat dicapai, maka sikap kita akan memberi dorongan dengan membekalkan tenaga untuk membantu kita mencapai matlamat yang dicita-citakan.
 

CARA MEMBINA IMEJ KENDIRI YANG POSITIF
 

  • Menyatupadukan segala aspek diri yang positif.
    Kenalpasti dan beri tumpuan kepada aspek diri yang positif seperti :-
    1. Kelebihan sendiri. Ia merangkumi bakat, kebolehan, ciri-ciri peribadi dan kemahiran yang anda miliki.
    2. Pencapaian dan kejayaan anda.
    3. Pujian ikhlas yang diberikan kepada anda oleh orang lain.
    Dengan menyatupadukan segala aspek diri yang positif anda akan dapat membentuk imej diri yang positif dan seterusnya berasa yakin pada diri.
     
  • Mengambilkira pandangan orang lain.

  • Gambaran yang anda bentuk tentang diri anda sendiri mungkin berbeza daripada pandangan orang lain. Anda mungkin berpendapat bahawa anda terlalu rendah, muka terlalu panjang atau warna kulit terlalu gelap tetapi orang lain mungkin berpendapat anda kelihatan menarik. Anda harus mengambil kira pandangan orang lain yang dianggap sesuai bagi membantu anda membina imej kendiri yang positif.
IMEJ KENDIRI YANG NEGATIF

Seseorang yang mempunyai imej diri yang negatif berasa tidak puas hati, tidak gembira serta tidak berupaya sepenuhnya mengendalikan perkara tentang dirinya sendiri. Ini menjadikannya kurang yakin tentang dirinya sendiri dan orang lain akan kurang yakin berdamping atau bergaul dengannya.

Ramai orang gagal mencapai kejayaan yang besar dalam kehidupan kerana imej diri yang negatif dan bukan kerana kekurangan kemampuan atau bakat. Orang-orang yang memiliki imej diri yang negatif lazimnya akan mempunyai harga diri yang rendah, mereka tidak suka akan diri mereka. Oleh itu, mereka tidak kompeten untuk menghadapi cabaran-cabaran kehidupan.
 
 

CARA MEMPERBAIKI ASPEK DIRI YANG NEGATIF
 

  • Memperbaiki diri sedikit demi sedikit

  • Cuba kenalpasti kelemahan atau aspek diri yang negatif dan terus berusaha memperbaikinya sedikit demi sedikit. Umpamanya, jika anda segan bergaul dengan rakan-rakan sekelas, pastikan anda berusaha untuk senyum kepada mereka.
  • Berfikiran positif

  • Biasanya kelemahan atau aspek diri yang negatif sukar diubah. Namun demikian ia boleh diperbaiki jika anda berfikiran positif dan menetapkan hati untuk berusaha. Orang yang berfikiran positif yakin bahawa dia sanggup melakukan sesuatu walaupun susah dan anda akan terus berusaha sehingga berjaya.

  • Menerima kekurangan diri sendiri.

  • Anda perlu menerima hakikat bahawa terdapatnya beberapa keadaan tentang diri anda yang memang tidak boleh diubah atau diperbaiki.
     

  • Menganalisis pengalaman untuk memperbaiki diri
  • Menilai kesan baik dan buruk

  • Untuk menganalisis pengalaman, anda perlu menilai kesan baik buruknya sesuatu yang telah berlaku pada diri anda. Analisis seperti ini akan membolehkan anda menilai tingkah laku dan seterusnya memperbaiki diri.
     

  • Menganalisis kegagalan

  • Kegagalan untuk melakukan sesuatu tidak bermaksud bahawa anda telah gagal dalam hidup. Cara yang paling baik untuk mengatasi kekecewaan akibat kegagalan adalah dengan menerima hakikat dan seterusnya cuba memperbaiki kelemahan diri. Ini dapat dilakukan dengan menganalisis kegagalan tersebut dan mengenalpasti puncanya.
     

  • Melakukan perkara yang berfaedah

  • Kadang-kadang penerimaan oleh rakan-rakan amat dipentingkan oleh seseorang individu supaya dapat diterima oleh rakannya, dia terikut-ikut dengan gaya hidup mereka seperti dari segi pakaian, solekan, cara bercakap, tingkah laku dan lain-lain. Kita sepatutnya bertanya kepada diri sendiri samada perkara yang dilakukan itu bermakna, bermanafaat dan dapat membantu membina imej kendiri yang positif.
     

  • Cadangan-cadangan Untuk Membentuk Sikap Positif
    • Amalkan sikap positif dalam kehidupan. Elakkan diri daripada bersikap pesimis.
    • Bentuk pemikiran yang positif. Tukarkan percakapan negatif kepada positif.
    • Mulakan setiap hari dengan perasaan optimis dan pemikiran yang positif.
    • Jangan jadi seorang yang mudah marah.
    Langkah-langkah Untuk Memprogramkan Semula Imej Anda
  • Tuntutlah kebenaran tentang diri anda. Kebenaran itu akan membebaskan anda daripada belenggu pemprograman negatif yang lalu. Adakah imej diri anda kini mencerminkan diri anda yang sebenar? Apakah kekuatan dan kelemahan anda? Apakah kepercayaan dominan anda ?
  • Cabar dan padamkan kepercayaan negatif anda.
  • Gantikan fikiran negatif dengan fikiran positif. Fikirkan kejayaan bukannya kegagalan. Jangan sekali-kali merendahkan diri anda. Lihatlah diri anda dari perspektif baru, jadilah sahabat karib diri anda.
  • Perteguhkan imej diri anda dengan menuliskan pernyataan positif tentang diri anda pada kad-kad pengesahan dan letakkan di tempat-tempat yang mudah anda lihat.
  • Bayangkan gambaran mental baru anda yang berjaya. Ini akan membolehkan minda separa-sedar anda bertindakbalas seolah-olah anda sudah berjaya dalam usaha baru anda.